Saturday 2 April 2011

ISU NELAYAN ; KARENAH BIROKRASI MENYUSAHKAN PARA NELAYAN

JARING DAN SAM MOHON JABATAN PERIKANAN TELUS DALAM MENYELESAIKAN ISU LESEN NELAYAN KUALA PERLIS 

Jaringan Bertindak Nelayan Pantai Semenanjung (JARING) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Perlis melalui kenyataan Pengarahnya Abdullah Md Dan mengenai isu lesen yang menyatakan masalah ini cuba diperbesarkan. (The Star dan Malaysiakini, 24 Julai 2007)

Sememangnya Jabatan Perikanan Perlis tidak perlu bermain dengan fakta dan data berkenaan jumlah lesen yang dipohon dan dikeluarkan. Apa yang pasti nelayan-nelayan pantai telah lama hilang motivasi dan semangat untuk menguruskan isu lesen yang telah lama dibangkitkan tanpa ada penyelesaian. Sebelum ini banyak permohonan lesen nelayan yang tidak diluluskan sehinggakan nelayan hampir berputus asa dan tidak mahu untuk terus berurusan dengan Jabatan Perikanan sehingga urusan permohonan terdahulu diluluskan.
Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian 12 Julai 2007 “Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS) dan kenyataan pengerusinya, Ramly Sabu telah mengemukakan 150 permohonan lesen sampan nelayan kepada Jabatan Perikanan sejak Mei 2006 (tahun lalu) [Jumlah ini adalah jauh lebih besar dari jumlah 120 permohonan yang dikemukakan oleh JARING pada media sebelum ini]. Pada awal Januari 2007 persatuan menerima surat daripada Jabatan Perikanan bahawa permohonan ditolak”. Surat rayuan telah dihantar kepada Jabatan Perikanan pada Februari 2007 tetapi sehingga kini masih belum mendapat jawapan dan maklum balas.

Nelayan tidak pernah diberikan penjelasan yang tepat dan jelas oleh pihak Jabatan Perikanan mengapa lesen yang dipohon tidak diluluskan mahupun dikeluarkan. Karenah birokrasi di jabatan yang menjadikan prosesnya terlalu lama dan memakan masa berbulan-bulan serta prosedur yang terlalu merumitkan amat menyusahkan nelayan. Satu demi satu prosedur dan syarat yang perlu dipatuhi tetapi walaupun telah diikuti oleh para nelayan masih tidak mendapat kelulusan. Nelayan merasa mereka seperti dipermainkan oleh pihak jabatan.

Pelbagai usaha telah dilakukan melalui Persatuan Nelayan Negeri mahupun Kawasan bagi menangani masalah tersebut. Sejak 3 tahun lepas nelayan telah mula membangkitkan isu ini, melalui pelbagai perjumpaan, mesyuarat nelayan, permohonan bertulis, surat rayuan dan dialog namun semuanya tidak membuahkan hasil. Melalui program-program yang dihadiri oleh nelayan yang melibatkan Jabatan Perikanan (contohnya Dialog Jabatan Perikanan Bersama Nelayan, Januari 2007), nelayan tidak pernah melepaskan peluang dan mengambil kesempatan tersebut untuk bertanyakan tentang isu lesen dan meminta ia diselesaikan, namun setiap kali jawapan yang diterima ialah pihak jabatan berjanji akan menyelesaikannya. Namun, janji tinggal janji. Walau di susuli dengan surat rayuan permohonan lesen, namun tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Hakikatnya, masalah lesen ini telah lama wujud dan berlarutan sehingga ke hari ini. Nelayan terpaksa berhadapan dengan risiko yang melibatkan sosioekonomi mereka. Nelayan yang tidak memiliki lesen terpaksa membeli petrol dengan harga RM 1.92 seliter berbanding harga subsidi RM 1.00 seliter bagi nelayan yang mempunyai lesen. Mereka terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi berbanding jumlah pendapatan hasil daripada tangkapan harian mereka. Nelayan juga menempah risiko diambil tindakan oleh pihak berkuasa maritim kerana beroperasi tanpa lesen.

JARING dan SAM menggesa agar pihak Jabatan Perikanan tidak lagi berdolak dalih dalam menyelesaikan masalah lesen ini. Berpijak dibumi nyata dan jangan perjudikan nasib nelayan kecil. Kami juga memohon agar pertimbangan semula dibuat dan kelulusan segera diberikan terhadap permohonan lesen oleh nelayan-nelayan.

Walau bagaimanapun, JARING dan SAM berterima kasih kepada pihak media kerana selepas isu ini dihebahkan di media, Pengarah di Jabatan Perikanan Negeri Perlis telah mula mengambil tindakan dan memberi jawapan terhadap isu lesen tersebut.

No comments:

Post a Comment