Tuesday, 12 April 2011

LKIM LANCAR OPERASI PEMUTIHAN NELAYAN

Pihak tidak lagi ke laut ditarik elaun RM200

SEREMBAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melancarkan operasi pemutihan terhadap kira-kira 80,000 nelayan di seluruh negara berikutan ada nelayan yang tidak lagi turun ke laut, tetapi masih menerima bantuan elaun sara hidup RM200 sebulan. 

Tindakan itu bagi memastikan hanya nelayan yang benar-benar layak saja mendapat bantuan yang disediakan bertujuan meringankan beban hidup mereka.
Sumber LKIM berkata, operasi itu sudah dimulakan di seluruh negara melalui LKIM negeri yang menyiasat semula secara terperinci latar belakang setiap nelayan yang menerima bantuan dan status kehidupan terkini bagi memastikan maklumat diberikan benar.
“LKIM turut membuat rujukan silang berhubung semua aktiviti perikanan mereka melalui pangkalan data yang sentiasa dikemas kini bagi mengenal pasti nelayan yang sudah tidak turun ke laut,” katanya kepada Berita Harian, semalam. 

Katanya, operasi itu membabitkan semua penerima bantuan elaun sara hidup RM200 setiap bulan, iaitu program yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu bagi memastikan kebajikan nelayan terjamin. 

Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM180 juta setiap tahun melalui program ini yang dikhususkan untuk nelayan yang memiliki bot ikan dan berlesen serta awak-awak yang aktif dalam aktiviti penangkapan ikan. 

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, LKIM mempunyai keupayaan untuk mengesan nelayan yang tidak aktif melalui kejanggalan pada aktiviti harian nelayan terbabit yang direkodkan dalam pangkalan data. 
Sebagai contoh, katanya, ada nelayan menerima bantuan setiap bulan sedangkan rekod pengambilan diesel subsidi menunjukkannya tidak mengambil bahan itu untuk tempoh beberapa bulan, sekali gus mungkin bermakna nelayan terbabit tidak lagi turun ke laut. 

“Ini antara rujukan silang yang LKIM laksanakan untuk mengenal pasti nelayan sudah berhenti menangkap ikan kerana melakukan kerja lain, sekali gus menyebabkannya tidak lagi layak menerima bantuan,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, nelayan terbabit masih diberi peluang memberi penjelasan kepada LKIM kerana sesetengah nelayan mungkin masih turun ke laut, tetapi tidak mendapatkan diesel subsidi kerana lokasi pangkalan yang membekalkan bahan bakar itu jauh.

No comments:

Post a Comment