Monday, 11 April 2011

PEMBUATAN KAPAL DAN BOT PULAU DUYONG DI IKTIRAF DUNIA



SHAFIE (kanan), memperkatakan sesuatu mengenai kulit pokok gelam kepada hassan ketika mengadakan lawatan ke bengkel membuat bot di Pulau Duyung, Terengganu. Turut hadir, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Kamarulzaman Mera husin dan Pengurus Besar Karyaneka, Zuraidah Abdul Razak.
Kapal layar mega jadi warisan kebanggaan negara

KEHEBATAN pertukangan tangan Melayu nyata gah di serata dunia apabila pada 2005, seorang pembuat bot di Pulau Duyung Kuala Terengganu, Hassan Ali, 61, menyiapkan kapal layar milik warga Jerman, Christoph Swoboda, dalam tempoh masa hampir dua tahun.

Menyedari kepakaran kerja tangan anak tempatan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) melalui agensinya, Kraftangan Malaysia, sudah memasukkan projek pembinaan kapal layar dan bot di Kampung Pulau Duyung sebagai satu daripada projek yang perlu diberi perhatian di bawah projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) sejak 2005. Pertukangan membuat kapal layar dan bot tradisional adalah kemahiran yang diwarisi secara turun temurun oleh penduduk di Kuala Terengganu, terutama di Pulau Duyong.

Melalui projek berkenaan, pengusaha bot terbabit diberi bantuan merangkumi pembinaan dan baik pulih bengkel pengeluaran, pembelian mesin dan jentera, pembelian peralatan kerja serta menyalurkan tenaga kerja di bawah Latihan Kemahiran Tenaga Kerja (LKTK).

Justeru, Kraftangan Malaysia bekerjasama dengan Hassan untuk membina kapal layar jenis Pinis yang bersaiz 22 meter panjang x 7.5 meter lebar bagi mengekalkan kepakaran anak tempatan boleh dilihat oleh semua rakyat Malaysia. Selain itu, kapal layar itu juga akan dihias dengan ukiran kraf apabila siap sepenuhnya kelak dalam tempoh 24 bulan pembinaannya.

Hassan yang melahirkan rasa terharu kerana dipilih membina kapal layar mega yang pastinya melakar sejarah peribadi terhadap dirinya dan lima anak buah berkata, pembinaan kapal layar tradisional itu tidak menggunakan paku dan ia dibina berasaskan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki kumpulan tukang.

“Tidak menggunakan paku itu merujuk kepada kerja penyambungan papan yang dijadikan badan bot. Setiap papan dicantum menggunakan pasak kayu, tetapi tidak dinafikan ada bahagian lain yang dikemaskan menggunakan nat dan skru,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Pulau Duyung, baru-baru ini.

Hassan dibantu lima tenaga mahir, Azlan Hasni, Muhammad Ali, Amran Ghazali, Muda Muhammad dan Nik Ridzuan Nik Mohd. Kerja pembinaan yang dimulakan pada April 2007 itu dijangka siap sepenuhnya pada Mei ini.

Katanya, pembinaan kapal dimulakan dengan kerja membuat lunas sebelum kun atau rangka perut dibuat, manakala kun tajuk pula dibuat secara berasingan,

Kun perut akan dipasang pada lunas sebelum memasang linggi pada lunas haluan dan belakang. Kerja diteruskan dengan memasang kun tajuk pada kun perut dan memasang papan dinding luar bot. Perkara lain yang turut ditekankan dalam proses pembuatan kapal layar ialah ketepatan dari segi ukuran bahan yang digunakan kerana ia akan menentukan keseimbangan kapal apabila berada di dalam air.

“Tanpa keseimbangan, bot tidak akan boleh terapung dengan baik. Jika tidak terapung pada kedudukan yang sepatutnya, pelbagai masalah akan timbul dan inilah yang kami perlu elakkan,” katanya.

Beliau berkata, kerja pertukangan dilakukan secara berperingkat dan semua tugas mesti dilakukan dengan teliti kerana kesinambungan daripada pemasangan rutin itu menyumbang kepada keseimbangan yang diperlukan oleh kapal.

“Apabila sudah siap memasang rangka asas tadi, barulah kami memasang bahagian dinding bot menggunakan papan kayu cengal memandangkan kayu jenis ini adalah yang paling tahan dengan cuaca alam. Jarak setiap kun atau rangka ialah 38 sentimeter dan kira-kira 50 tan kayu cengal diperlukan untuk membuat kapal layar mega ini,” katanya.

Hassan berkata, struktur binaan kapal layar mega atau bot tradisional itu dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu bahagian bawah, bahagian tengah (tingkat dua) dan bahagian atas (dek).

Bahagian bawah menempatkan tangki minyak, enjin, jentera kuasa elektrik dan sistem penghawa dingin yang akan membekalkan hawa sejuk kepada keseluruhan ruang bot, manakala di tingkat dua pula dibina kabin dan dua bilik utama untuk petugas. Dua bilik utama itu seluas lebih kurang tiga meter panjang dan 2.5 meter panjang serta empat bilik bersaiz 1.5 meter panjang dan 2.5 meter lebar.

“Setiap ruang diambil kira, malah dek pada bahagian atas juga ada ukuran tertentu bagi di sesuaikan dengan saiz kapal. Setiap jenis bot mempunyai spesifikasi yang berbeza bergantung kepada jenis dan untuk apa bot itu dibuat.

“Bot yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan di laut dalam mempunyai perbezaan dengan bot pelayaran. Malah, perkiraan keseimbangan juga tidak sama kerana ada bot yang mempunyai model tinggi pada bahagian haluan dan ada pula yang tinggi pada bahagian dek belakang,” katanya.

Justeru, setiap sudut binaan dalam bot harus mengikut ukuran yang betul bagi menjamin mutu bot dan kedudukan yang stabil apabila diluncurkan ke air. Selain itu, teknik penjagaan yang betul juga menjamin kelangsungan hayat sesebuah bot.

“Ada banyak faktor yang menyumbang kepada ketahanan bot. Pertukangan yang baik, penjagaan dan pemeriksaan yang dilakukan secara berkala akan memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik. Apabila berendam di dalam air, bot terdedah kepada serangan terilok, sejenis ulat air yang boleh merosak kayu. Untuk mengelakkan kayu rosak akibat ulat air, kami menggunakan kemasan gam getah daripada kayu pokok gelam,” katanya.

Dengan pembinaan kapal layar bersaiz mega itu yang akan diberi kemasan terakhir seperti ukiran dan dihiasi produk kraf tangan, usaha KPKKW melalui agensinya, Kraftangan Malaysia, dijangka menarik perhatian penggemar kraf tempatan dan pelancong asing untuk terus mengunjungi negeri warisan pesisir itu sekali gus menjana pendapatan ekonomi negeri dan negara.

Sebagai tanda sokongan, Menteri Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Datuk Seri Shafie Apdal (kanan), turut melawat bengkel membuat kapal layar milik Hassan, baru-baru ini.

Usaha yang baik ini wajar diperluaskan kerana manfaat yang bakal diperoleh bukan saja daripada aspek ekonomi, tetapi warisan dan kemahiran tempatan juga akan terus dinikmati generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment